Thursday 4 September 2014

Hakikat Peristiwa Nabi Muhammad Ke Gua Hira'



Nabi Muhammad pergi ke Gua Hira' dan beribadah di sana selama beberapa malam. Kemudian pulang ke rumah isterinya, Khadijah dan beliau dibekalkan dengan bekalan yang cukup sehingga saat Rasulullah diturunkan wahyu. Ketika beliau berada di dalam Gua Hira' itu, malaikat Jibril datang, lalu berkata kepada beliau, "Bacalah!" Rasulullah menjawab, "Aku tidak tahu membaca" Lalu Jibril memegang beliau dan memeluk erat-erat sehingga Rasulullah berasa payah.

Kemudian Jibril melepaskannya sambil berkata, "Bacalah!" Jawab Rasulullah lagi, "Aku tidak tahu membaca" Kemudian Jibril memegangnya lagi dan memeluknya sehingga Rasulullah berasa sukar bernafas. Jibril berkata:
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhJFRbTApwBDvQ6gZmwJHHEzFAaTwa8wOREaSoUZDstQetAdC8blgO41ZDHYXkJv_ghrMdhku_7mIYDgcZbDenoclcx9aduoDRB_NFzlEvSRkzVMH0JkQFVkMuI8drXJrRBMjYymgQ8Jyg/s400/Surah+Al-Alaq+96+Ayat+1-5.PNG

Para perekod hadis menambah, Rasulullah segera kembali ke rumah dalam keadaan gementar dan ketakutan sambil menyeru kepada Khadijah, "Selimutkan Aku! Selimutkan Aku!" Lalu beliau diselimutkan sehingga hilang rasa gementarnya.

Rasulullah menceritakan kisah yang dialami kepada isterinya itu sambil berkata "Aku rasa bimbang dengan diri sendiri". Lalu Khadijah menghiburkan hati Rasulullah dengan berkata "Janganlah bersusah hati. Demi Allah! Allah tidak akan mengabaikan dirimu selamanya kerana kamu selalu menjalinkan hubungan silaturrahim, tutur katamu jujur, suka membantu orang lain, menjamu tetamu dan sentiasa menegakkan kebenaran.

Kemudian Khadijah membawa Rasulullah ke rumah Waraqah bin Nawfal bin Asad bin Abdul Uzza, sepupu Khadijah. Waraqah memeluk agama Nasrani sejak zaman jahiliah dan beliau banyak menulis dalam bahasa Arab. Beliau juga menyalin Injil ke bahasa Ibrani. Beliau menderita penyakit buta sebaik usia semakin meningkat.

Khadijah berkata kepadanya, "Wahai sepupuku, dengarlah apa yang diceritakan oleh anak saudaramu ini" Waraqah menjawab "Apakah yang berlaku wahai anak saudaraku?" Rasulullah terus menceritakan tentang apa yang dialaminya. Waraqah berkata "Itu adalah Namus yang turun kepada Nabi Isa. Alangkah baiknya sekiranya aku masih muda dan masih hidup sewaktu kamu diusir oleh kaummu." Rasulullah bertanya, "Apakah kaumku akan mengusirku?" Waraqah menjawab, "Ya! Tidak seorang pun yang membawa risalah Allah seperti kamu ini tidak dimusuhi. Sekiranya aku masih hidup pada ketika itu, pasti aku akan menolongmu dengan sekuat tenagaku. Tidak lama kemudian, Waraqah meninggal dunia.

(Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)

+++++

Hakikatnya, Allah yang Maha Berkuasa berkenan memandangkan manusia, dengan memilih salah seorang daripada kalangan manusia bagi menjalankan rencana yang dikehendaki-Nya.

Ini adalah hakikat yang Maha Agung, yang tiada batas bagi keagungan-Nya dan sudut keagungan-Nya. Ia kelihatan jelas apabila manusia mula memahami kadar kemampuan hakikat Uluhiyyah atau ketuhanan mutlak, yang azali dan abadi. Kemudian manusia mula memahami hakikat Ubudiyah atau kehambaan dirinya yang terbatas.

Manusia berasa kemanisan kesan daripada keprihatinan dan petunjuk Allah itu kepada manusia. Dia menerimanya dengan penuh patuh, syukur dan gembira apabila dia memahami kalam Allah yang diturunkan kepada manusia.

[ Kuasa Iqra]

No comments:

Post a Comment